1. SEKOLAH  KEBANGSAAN BUKIT JENUN

Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun ini terletak dihadapan Taman Reakreasi Bukit Jenun yang berhampiran dengan Perpustakaan Desa Bukit Jenun. Pertengahan 1940-an, dengan jasa baik Pegawai Daerah iaitu Tuan Haji Md. Isa dan penduduk setempat mendapat sebuah berek kastam dan diubahsuai untuk dijadikan sekolah.Sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Stesen kerana kedudukannya yang berdekatan dengan stesen keretapi. Bilangan murid semasa penubuhannya ialah seramai 23 orang. Guru yang mengajar ketika itu ialah Cikgu Bakar yang bertugas secara sukarela. Di awal penubuhannya, pentadbiran sekolah dikenali sebagai “Lembaga Didik Sekolah”.

Sekolah ini kemudiannya dikenali dengan nama Sekolah Melayu Bukit Jenun. Pada Mei 1957, sekolah ini mendapat bangunan tambahan yang mempunyai 6 buah kelas diikuti dengan pembinaan sebuah rumah guru pada 1 Februari 1961. Manakala pada 31 Julai 1961, sekolah ini mendapat sebuah padang untuk kegunaan murid-murid. Seterusnya, diawal 1968 didirikan pula sebuah bangunan yang menampung 4 buah kelas.Perasmian sekolah telah dilakukan pada 10 Februari 1968 oleh YB. Menteri Pelajaran Malaysia dan sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun. Seterusnya pada awal tahun 1980-an, sekolah mendapat tambahan sebuah bangunan 3 tingkat untuk menampung bilangan murid yang semakin ramai. Manakala 1 Mei 1997, sekolah ini mendapat sebuah rumah guru yang mengandungi 2 unit kediaman dan pada 10 Januari 2003, diikuti pula dengan pembinaan makmal computer.

Gambar 1: Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun.Gambar 1: Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun.

 

2. SEKOLAH MODEL KHAS BUKIT JENUN

Sekolah Model Khas Bukit Jenun ditubuhkan pada 1 Januari 1985. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan perkampungan KEDA Tanjung Setol. Jenis sekolah ini adalah sekolah menengah dan sekolah rendah (Model Khas). Manakala peringkat sekolah pula, terdiri daripada peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan atas. Sekolah yang mempunyai keluasan sebanyak 30 ekar ini menempatkan 32 bilik darjah.

Pengetua sekolah ini ialah En. Md Sharif bin Darus. Manakala Penolong Kanan Kurikulum ialah En. Mohamad Refaee bin Ismail. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid ialah En. Zakaria bin Ramli. Penolong Kanan Ko-kurikulum sekolah ini ialah En. Nurul Fuad bin Hassan. Bilangan guru siswazah seramai 50 orang dan guru bukan siswazah seramai 14 orang dan menjadikan jumlah bilanagn rekod guru seramai 64 orang. Manakala jumlah bilangan rekod bukan guru seramai 14 orang.

Gambar 2: Sekolah Model Khas Bukit Jenun.Gambar 2: Sekolah Model Khas Bukit Jenun.

3. SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (CINA) JUNUN, BUKIT JENUN

 

SJK (C) Junun ditubuhkan pada tahun 1925. Peringkat permulaan, mendiang En. Ho Liew See serta tokoh-tokoh tempatan mengesyorkan supaya mengadakan tempat pengajian yang sesuai untuk anak-anak tempatan. Mereka berjaya menyewa sebuah rumah atap yang terletak di Jalan Stesen sebagai bilik pengajian.Pada tahun 1936, Lembaga Pengurus Sekolah bercadang membina bangunan baru sekolah. Cadangan ini mendapat sokongan kuat dan mendapat derma. Berkat usaha, bangunan sekolah siap dibina pada tahun 1940.

Guru Besar yang berkhidmat sekarang ialah Puan Ooi Mie Yin. Beliau mula berkhidmat di SJK (C) Junun pada 1 Ogos 2006 sehingga sekarang. Jumlah guru yang berkhidmat di sekolah ini adalah seramai 7 orang. Manakala kakitangan bukan akademik pula seramai 4 orang. Jumlah pelajar yang belajar di sekolah tersebut seramai 60 orang. Pelajar lelaki seramai 30 orang manakala pelajar perempuan seramai 30 orang.

 

Gambar 3: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Junun, Bukit Jenun.Gambar 3: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Junun, Bukit Jenun.

 

4. MAKTAB RENDAH SAINS MARA JALAN JENUN, PENDANG

Maktab Rendah Sains MARA Pendang adalah MRSM yang ke 27 dibina di Malaysia. Lokasinya terletak di Mukim Air Putih di Daerah Pendang dengan kedudukan 5 kilometer dari Pekan Pendang dan 30 kilolemter dari Bandar Alor Setar. MRSM mempunyai berkeluasan 21.282 hektar atau 52.591 ekar.Kerja-kerja pembersihan tapak yang dahulunya dipenuhi dengan tanaman getah dimulakan pada 30 September 1999. Majlis pecah tanah dan perletakan batu asas telah disempurnakan oleh Y. B. Dato’ Haji Othman Bin Haji Abdul, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri pada 14 November 1999. Kerja-kerja pembinaan berjaya disiapkan pada 12 April 2001.

MRSM Pendang mempunyai 4 blok akademik dan pentadbiran, 4 blok asrama yang memuatkan bilik pelajar perempuan dan bilik pelajar lelaki dengan kapasiti maksimum 750 orang pelajar. MRSM ini juga dilengkapi dengan 25 bilik darjah, 13 makmal sains, 2 makmal komputer, 1 bilik bitara (makmal induk komputer), 4 bengkel Kemahiran Hidup, Dewan Selera, Dewan Serbaguna, Pusat Sumber Pembelajaran, Bilik Multimedia, 2 bilik tayangan , bilik audio video, makmal senireka, makmal reka cipta, dewan kuliah, bilik sakit, cafeteria dan mempunyai kemudahan sukan yang lengkap.

MRSM Pendang juga dilengkapi dengan kuarters untuk staf. Ia terdiri daripada 1 unit rumah Pengetua, 2 unit rumah Penolong Pengetua, 1 unit rumah ketua warden, 8 unit rumah guru dan 5 unit rumah kakitangan. Rumah-rumah warden juga dibina di hujung setiap blok asrama bagi memudahkan urusan dengan pelajar.MRSM Pendang telah mula beroperasi pada 16 April 2001, dengan pengambilan pelajar perintis seramai 476 orang yang terdiri daripada 281 pelajar tingkatan 4 dan 195 pelajar tingkatan 1, dengan bilangan tenaga pengajar perintis seramai 34 orang dan staf sokongan yang lain. Pengetua pertama MRSM Pendang ialah Tuan Haji Zakaria Bin Mohd Noor. Manakala pengetua sekarang pula ialah En. Mohd Yusoff Bin Md. Taha yang mula berkhidmat pada tahun 2011 sehingga sekarang.

Kini tenaga pengajar MRSM Pendang telah meningkat kepada 57 orang guru, yang mana setiap seorang hanya dipertanggungjawabkan untuk mengajar satu subjek sahaja. Manakala kakitangan sokongan seramai 33 orang bagi melancarkan lagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran di MRSM Penda

(Sumber: Portal Maktab Rendah Sains MARA, Pendang, http://www.mrsmpendang.edu.my)

Gambar 4: Maktab Rendah Sains MARA Jalan Jenun, Pendang.Gambar 4: Maktab Rendah Sains MARA Jalan Jenun, Pendang

 

5. PUSAT GIATMARA JALAN JENUN, PENDANG.

 

Pusat GIATMARA Pendang ini terletak bersebelahan dengan MRSM Pendang. Antara kursus yang dijalankan di GIATMARA ini ialah kursus pendawai elektrik, teknologi motosikal dan fesyen dan penjahitan.Objektif penubuhan pusat GIATMARA ini adalah untuk memberi latihan kemahiran kepada masyarakat bandar dan luar bandar dalam bidang yang bersesuaian dengan keperluan tempatan. Usaha ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup individu melalui peluang usaha niaga dan pekerjaan. Sebagai sebuah institusi latihan kemahiran di peringkat akar umbi masyarakat, GIATMARA merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan kadar pengangguran serta gejala kurang sihat di kalangan anggota masyarakat.

Program GIATMARA merupakan satu usaha untuk menggalakkan Bumiputera mempertingkatkan kemahiran teknikal mereka dan menjadi usahawan yang berdaya saing di pasaran terbuka.

(Sumber: Portal GIATMARA Malaysia, http://www.giatmara.edu.my)

Gambar 5: Pusat GIATMARA Jalan Jenun, Pendang.Gambar 5: Pusat GIATMARA Jalan Jenun, Pendang.

 

6. AKADEMI SAINS PENDANG.

AKADEMI SAINS PENDANG (Bahasa Inggeris: Pendang Science Academy) ialah sebuah sekolah menengah di Daerah Pendang, Kedah, Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah nama Sekolah Menengah Sains Pendang pada tahun 2021. Ia telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Pendidikan Kanan, diiringi oleh YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Malaysia) Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Dato' Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (SDK), pada 5 Disember 2021.Sekolah itu merupakan sekolah pertama di Malaysia yang menerima pakai Program Pendidikan Bestari Lanjutan, yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (Malaysia) pada 29 Ogos 2019. Akademi ini ditubuhkan bagi merealisasikan program Pendidikan Pintar Cerdas (PPPC) iaitu salah satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM 2013-2025 untuk memperkembangkan potensi murid terpilih secara optimum. Sistem pembelajaran adalah mengikut model konsep Pusat Genius @Pintar negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Akademi Sains Pendang ini terletak bersebelahan dengan GIATMARA.



Gambar 5: Pusat GIATMARA Jalan Jenun, Pendang.

                                        Gambar 5.2: Akademi Sains Pendang,Jalan Jenun.